My guest book,please sign in

Followers

Monday, May 10, 2010

Semalam hari Ahad,kebanyakan orang mengucapkan Selamat Hari lbu terutama anak-anak yang prihatin kepada ibu-ibu.

Seorang Es menelefon.Suaranya serak dan tersekat-sekat.Saya menyangkakan dia tidak sihat.Rupanya tidak.Dia dihinggapi emosi.Dia menangis kerana tidak seorang anaknya pun yang teringat untuk mengucapkan Selamat Hari lbu kepadanya.

Pada pandangan mata kasar Es tidak kekurangan satu apa pun.Dia sentiasa aktif,ceria,
pandai bergaul dan sentiasa memberi nasihat kepada yang memerlukan.

Kata Es,memang dia mempunyai pendapatan sebanyak 3K sebulan.Duit itu tak pernah habis digunakan bersama dua beranak.Dia dan seorang anak perempuannya yang tidak sihat.

Duit bulanan itu diberikan oleh tiga orang anak lelakinya yang berjaya dalam kerjaya, tetapi mereka tidak pernah menjenguk beliau walaupun rumah mereka jaraknya cuma 1 KM dari rumah Es.

Anak lelakinya marah kerana Es menanggung anak perempuannya itu.Mereka berasa adik perempuan itu sakit kerana meminta simpati dan perhatian.

Es cuba menerangkan bahawa tanggapan itu salah kerana memang adik mereka sakit dan disahkan oleh doktor pakar.

Anak perempuan itu sekarang boleh "dijinakkan" apabila memakan ubat yang diberikan oleh doktor setelah bertahun-tahun Es berubat dengan bomoh dan dukun.

Anak perempuan Es tinggal bersamanya dan tidak bekerja.Es tidak membenarkan dia bekerja setelah dia berhenti dari pekerjaannya selepas dia sakit.Es bimbang kalau dia bekerja rutin memakan ubat akan terganggu dan mungkin dia sakit kembali.

Abang-abangnya tidak menunjukkan simpati bahkan menjauhkan diri cuma duit dimasukkan ke dalam akaun Es setiap bulan seribu seorang.

Es menerima segala dugaan itu dengan redha tetapi sebagai manusia kekadang dia amat terasa apabila ada kawannya mengatakan tentulah dia malu mempunyai anak yang sakit seperti itu.

Es tidak berasa malu dengan keadaan yang menimpai dirinya dan anak perempuan seorang itu tetapi Es kecewa dengan sikap anak lelakinya yang sepatutnya bertanggungjawab bersama-sama menjaga adik yang seorang itu dan sikap sebahagian kawan yang mencemuh dirinya.

Bila merujuk kepada suaminya,Es ketawa kecil.Baginya suaminya telah lama mati.Mati akal.Es tidak mahu bercerita lanjut tentang suaminya.Takut dia dianggap derhaka dan menambah dosa.

Es memohon maaf sudahnya apabila dia telah mengambil masaku untuk berbicara.katanya aku boleh menerima semua itu dengan tenang dan penuh pengertian.Dan dia terasa amat lega apabila dapat mencurahkan rasa hati itu kepadaku.

Wahai semua anak-anak yang membaca,bukan wang,harta dan kemewahan yang terlampau diperlukan seorang ibu.Kasih sayang,perhatian,ambil berat itulah keperluan yang utama.

Sebanyak mana kamu mengambil berat,bertanya khabar,menjenguk ibu anda dalam seminggu,
bulan dan tahun.Jika kamu mempunyai anak yang tidak pedulikan kamu,tidak mengambil berat dan menjenguk kamu,kamu redhakah terjadi begitu atau bagi kamu kamu banyak wang dan boleh membeli kebahagian dan kesentosaan kamu.Fikirkanlah.

No comments:

Post a Comment