My guest book,please sign in

Followers

Saturday, March 27, 2010

Hari Bumi akan disambut di seluruh dunia pada 22 April nanti.Pertama kalinya Hari Bumi telah disambut pada tahun 1970.Saya sendiri titak pernah mengingatkan Hari Bumi ini cara terperinci walaupun saya sering mengingatkan "anak murid "betapa pentingnya menghargai dan memupuk kesedaran,keprihatinan kita terhadap alam sekitar.

Banyak benda berguna dikurniakan oleh Alllah diperolehi dari bumi ini seperti bahan logam, petroleum,tumbuh-tumbuhan, udara dan air untuk kehidupqan kita.

Akan tetapi banyak hidupan seperti haiwan dan tumbuhan telah pupus atau terancam kerana pencemaran udara,air dan tanah akibat dari aktiviti manusia yang tidak
terkawal dan sikap manusia yang tidak prihatin kepada alam sekitar.Sikap ini telah menyebabkan lapisan ozon semakin menipis .Banyak berlaku bencana alam seperti banjir,kemarau,tanah runtuh dan lain-lain lagi.

Bagaimana memelihara alam sekitar? Kita juga boleh membantu untuk memelihara alam sekitar secara persendirian antaranya:
1.Mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan air.Tutup suis peralatan elektrik jika tidak menggunakanya.Jangan bazirkan air.Siram pokok bunga dengan air bilasan pinggan mangkuk atau tadah air mandian anda.
2.Pencemaran udara.Elak pembakaran terbuka.Guna kenderaan awam atau berkongsi kereta bersama kawan-kawan ke tempat kerja atau menghantar anak-anak ke sekolah.
3.Amalkan mengitar semula barangan yang telah digunakan seperti kertas,botol/bekas plastik,tin aluminium,alatan dari besi dan kaca.Elakkan dari menggunakan beg plastik.
Bawa beg sendiri dari rumah untuk mengisi barang-barang yang dibeli dari kedai atau pasar.
4.Jaga alam sekitar.Buang sampah ke dalam bungkusan yang diikat baik-baik supaya sampah tidak bertaburan merata-rata tempat (tempat disediakan tong sampah).Jika ada tempat (tanah) tanam sampah sarap anda.Jangan buang sampah merata-rata di sekeliling rumah anda terutama di dalam longkang,parit atau sungai.lni dapat membantu mencegah sampah sarap hanyut semasa hujan dan mencemarkan sumber air dan boleh juga menyebabkan banjir.
5.Marilah kita sama-sama menanam pokok-pokok bunga,pokok-pokok hiasan dan pokok- pokok buah-buahan .Pokok bunga memberikan inpak cantik dengan bunga-bungaan yang berbagai warna,bau bunga yang harum memberikan rasa segar kepada kita.Pokok buah- buahan memberikan hasil buah-buahan yang kita minati selain dari mencantikkan persekitaran bumi dengan kehijauan yang segar dan mengurangkan kesan pemanasan global.
Sayangilah Bumi Kita.Jagailah ia bersama-sama.Usah mengeluh dan menangis apabila
bencana seperti kemarau,banjir dan tanah runtuh (sebahagiannya)terjadi di bumi ini kerana kita (manusia) yang menyebabkan segala kerosakan itu.

Monday, March 22, 2010

Beberapa minggu ini terbaca cerita tentang poligami.Cerita yang amat tidak menarik.
Cerita mengenai perebutan suami.Cerita kisah isteri kedua yang menjadi mangsa.Ada orang yang bersorak apabila isteri kedua dihimpit oleh masalah seperti itu,kekadang keluarlah perkataan padan muka kamu kerana sudah merampas suami orang lain.

Dalam lslam tidak ada istilah merampas suami orang kerana dibolehkan untuk suami mempunyai lebih dari satu isteri sehinggakan empat orang jika mampu dan dapat bersikap adil.

Mampu?memang mampu kerana dia berwang (bukan beruang),fizikal sihat dan kuat!Adil belum boleh dipastikan sehinggakan dia mempunyai dua,tiga atau empat suri rumah.

Pada saya sepatutnya penderitaan isteri yang mana satu pun tidak patut terjadi!
Seorang suami yang membuat keputusan mempunyai isteri yang lebih tentulah mempunyai lebih segalanya,kewangan,kekuatan,keupayaan bertindak,lebih ilmu dan cendiakawan.

Dia sepatutnya dapat mendidik isteri-isteri dan anak-anak tentang apa dia poligami, apa dia keadilan, apa dia kesamarataan,apa dia kasih sayang,apa dia pembahagian,apa dia penghormatan ,ibadat, dan lagi dan lagi.

Terpapar cerita isteri kedua yang sengsara kerana perkahwinan itu.Kenapa sebelum dia bernikah dia tidak memujuk sang lelaki yang belum pun jadi suami untuk bertemu dengan isteri pertama,bercerita mahu kahwin.Menyiasat tentang kebenaran isteri pertama tidak pandai layan,cerewet,garang dan seribu satu kenyataan lain lagi atau pujian yang melambung kepada isteri pertama tetapi masih hendak kahwin lain.
Maknanya dia membuka ruang nafsunya secara besar-besaran asalkan ada peluang dia akan merebut peluang itu tanpa mengira perasaan orang lain.

Betulkah hanya isteri kedua yang sengsara?ramai juga isteri pertama yang sengsara!
tetapi demi menjaga air muka mereka mendiamkan perkara tersebut!ataupun yang lebih berani lebih rela jadi janda!Ramai yang hidup bagai dalam neraka!Ada juga suami cuma pada waktu tengah hari,atau petang atau pada awal malam sahaja.Kekuatan mereka ialah menjaga harga diri seorang suami,dan keperluan anak-anak.

Mengapa mereka korbankan diri? Talak tidak pada tangan mereka.Menjaga maruah diri supaya anggapan tidak pandai melayan tidak ternampak nyata.Supaya anak-anak tidak terkesan oleh perceraian ibu ayah.Biarlah anak-anak membesar dengan kedua ibu bapa bersama-sama .

Sang suami itu patut tahu ilmu poligami! Jangan menzalimi,banyak mengasihi, Maha mengadili dari segi makan ,pakai,kewangan,tempat tinggal,dan yang paling penting masa giliran.Sehari semalam di sana,sehari semalam di sini atau seminggu di sana dan seminggu disini.Bukan bermakna mesti melakukan "sesuatu"pada giliran isteri-isteri itu.Janganlah membezakan antara isteri-isteri.Seorang dilayan bagai suri dan seorang lagi dilayan bagai abdi.Lebih teruk jika sara hidup isteri,isteri yang kena cari sendiri.

Kalau isteri-isteri kena sara hidup sendiri,hidup seorang diri dengan anak-anak
rasanya tak payahlah dia ada suami.Apalah ertinya suami yang tiada tanggungjawab melainkan keegoan sahaja.Eloklah dia mentalaqkan mana-mana isieti yang menjadi beban kepada hidupnya (buatlah pilihan).lnilebih baik dari menanggung dosa sepanjang hidup kerana tidak adil dan bersikap kejam.

Poligami boleh.Allah yang menetapkannya.Tetapi menjalankan mengikut syariat itu yang amat penat.Kalau tak mampu jangan menipu.lsteri-isteri seperti kebun pada suami,
ditanam dan dibajai supaya hasilnya menjadi.Tidak dipaksa untuk berpoligami kalau tidak dapat menepati apa yang ditetapkan llahi.

Tunjuk lagak nak banyak isteri,
Anak-anak berselerak hidup tak menjadi,
Rumah yang buruk tak sempat ambil peduli,
Dok bilang-bilang duit tak cukup lagi.

Pilih kasih dan tak adil menjadi-jadi,
Kekadang yang petama atau kedua lekat di hati,
tak sama rata layanan/nafkah diberi,
Di akhirat ,jawablah depan llahi.

Apa kata orang lelaki,
Cukupkan seorang isteri,
Atau berkeinginan untuk berpoligami,
ilmu di dada dah penuh terisi.

Monday, March 8, 2010

Selamat hari wanita kepada semua wanita Malaysia,
sepatutnya wanita semakin dipandang mulia,
tapi makin banyak yang jadi mangsa,
ada yang dilacurkan,didera dan hidup sengsara.

Zaman jahilliah,jadi pemuas nafsu,
Tak kira masa dan juga waktu,
Dikurung dalam rumah tak buat apa satu,
Cuma hias diri,wajah cantik macam ratu.

Dizaman moden,dan selepas kemerdekaan negara,
peluang kerja makin terbuka,
tahun 70an gaji jadi sama rata,
peluang naik pangkatpun sama saja lelaki dan wanita.

Malangnya mata terbuka tapi masih buta,
Buat kerja cari nafkah cara senang saja,
Ada yang jual diri,jadi GRO,tanpa rasa berdosa,
Ada juga pamerkan diri cara terbuka.

Ada ibu bapa yang tidak berasa apa,
Waris lahirkan anak tanpa bapa,
Kadang-kadang rasa bangga pula,
Ada cucu beberapa orang yang bintikan emaknya saja.

Zaman jahillliah ada yang bunuh anak,
Anak perempuan mereka tak hendak,
Anak lelaki biarlah jadi banyak,
Malu keluarga bila tak nikah tapi beranak.

Kaum perempuan mestilah dijaga,
Perasaan malu mesti penuh dalam dada,
ilmu dan iman ,sama imbangannya,
barulah dia tak conteng muka kita.

Kalau tutup kepala,dan juga muka,
tapi buka bawah kaki dan juga dada,
Biar seluruh badan orang pandang dan raba,
Sengaja mencari nahas dan buat dosa.

Pelakon dan penggiat seni bukan ikon yang sejati,
Dia pembawa watak yang bukan diri sendiri,
Tapi ada juga yang memang perangai buruk sejati,
Menipu,mabuk,hisap dadah,berzina dan lain-lain lagi.

Berlakon tak salah untuk pengajaran,
Sambil cari nafkah beri kesedaran,
Supaya penonton tak tersasar jalan,
Pilih jalan baik bukan jalan syaitan.

Ada pelakon kata,tengok saja bakat dia,
Hak peribadi jangan ambil kira,
Sedihnya tu kerana dia "orang kita"
Hal bersangkutan agama ,halal haram wajib ambil kira.

Bila orang kata jangan ambil hati,
Fikirlah baik-baik untuk diri sendiri,
Hidupan malam-malam macam kupu-kupu patut berhenti,
Ingatlah sama kita ni nak mati.

Wanita,janda,balu,gadis dan isteri,
Lengkapkan diri untuk hidup di dunia ini,
Cabaran,dugaan,gesaan dan kehendak naluri,
Tak akan pernah luput dan akan sentiasa menghampiri.

Marilah lengkapkan diri,
Jadi wanita yang sejati,
Hidupkan iman cekalkan hati,
Jaga anak,rumah tangga dan juga suami.
Yang utama diri sendiri.

Saturday, March 6, 2010

Orang Malaysia tidak suka membaca!Mungkin ada benarnya.Mereka tidak gemar membaca buku-buku ilmiah.Mereka membaca majalah,surat khabar (pada hari tertentu atau apabila ada berita tertentu).Lebih gemar kepada cerita-cerita artis dan buku-buku yang bercerita tentang hubungan cinta antara lelaki dan perempuan.
Oleh sebab itu banyak buku-buku dipasaran yang mendapat sambutan apabila mengandungi cerita cinta yang penceritaannya banyak menjurus kepada cerita cinta bebas.Banyak pula majalah yang membawa pembaca kepada mengimajinasikan kepada keasyikan cinta.
Apabila buku-buku berbentuk ilmiah tidak ramai yang mahu membacanya melainkan kepada orang tertentu yang terpaksa membacanya untuk membolehkan mereka lulus dalam peperik-
saan sekolah atau lntitut Pemgajian Tinggi mereka.
Menggalakkan membaca tergantung juga kepada ibu,bapa,adik beradik,guru dan perseki-
taran.Kalau semua orang sekelilingnya rajin membaca pastilah dia seorang juga akan terikut membaca.Cara kita mendidik orang membaca juga penting.Kalau anak-anak tanya lah apa kandungan isi cerita buku.majalah,akhbar,rencana,risalah yang dibaca.
Membaca itu gedung ilmu.Wahyu pertama pun diturunkan kepada Rasullullah ialah "Baca- lah" .Sesungguhnya tidaklah anda rugi apabila kita rajin membaca.
Seorang kawan saya tidak berpeluang melawat ke mana-mana negara kerana tanggungan yang besar terhadap keluarga,tetapi dia dapat bercerita tentang budaya,bahasa dan keindahan beberapa buah negara lain hanya kerana membaca.Dia bagaikan ensaiklopidia yang bergerak.Bahasanya halus.Tuturnya teratur kerana dia rajin membaca.Jadinya jadikanlah membaca suatu "hobi".
Orang Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain sangat beruntung.Banyak buku boleh di- perolehi apabila pesta buku diadakan.Belilah buku apabila ada peluang dan bacalah sebanyak mungkin.Cuma pastikan keasyikan membaca itu tidak sampai anda terjelepuk dalam longkang,tersepit kaki dalam jaring penutup longkang atau ditabrak kereta.Baca ditempat yang sesuai.Baca dan baca.
Tidak rugi apabila membaca,
Pengetahuan dapat, ilmu penuh didada,
Otak cerdas ,teransang minda,
bertindak ikut fikiran bukannya rasa.

Monday, March 1, 2010

Lihatlah!

12 Rabiulawal 1431 Hijriah bersamaan 26 Februari 2010 kita menyambut ulang tahun keputeraan Nabi muhammad S.A.W di serata kampung,daerah,negeri dan negara.Kita mendengar tentang sirah Nabi,cerita sifat mulia baginda,cerita perjuangan baginda yang penuh tragik untuk menegakkan agama Allah yang kita warisi hingga hari ini.
Kita berharap supaya kita dapat juga mencontohi sifat mulia Rasullullah itu kalaupun kita tak mungkin sebaik nabi .
Baginda seorang pemimpin, suami,datuk,ayahanda,sahabat,musuh yang sangat baik.Sangat menyayangi pengikut-pengikut,isteri-isteri,cucu-cucu,anak-anak,saudara mara,sahabat handai dan juga musuh-musuh baginda.Baginda tidak pernah bersifat zalim.Sekiranya ada sahabat yang terasa dengan gurauan baginda ,baginda akan meminta supaya si polan itu membalasnya dengan serta merta.
Begitu terdetik dalam hati setiap insan untuk mencontohi baginda didalam melakukan ibadat ,solat,berkasih sayang,menghormati,memelihara tanggungan kita dan lain-lain yang seumpama dengannya.
Tiba-tiba pada 27 Februari 2010 iaitu pada 13 Rabiulawal 1431 sehari selepas kita memuji sifat-sifat Nabi dan mahu mencontohinya kita dikejutkan dengan kematian seorang anak kecil yang baru berumur 3 tahun dengan sangat tragis.Kematiannya kerana deraan seorang lelaki yang digelar "ayah tiri".
Allahhu Akbar!Bagai terluruh jantung melihatkan jenazah bayi yang tidak berdosa itu Kalaupun mahu mengajar bukan itu caranya!Bukan sepatutnya dia dipijak,ditendang,
disepak,dihumban dan sebagainya.
Dosa apakah yang dilakukan oleh anak kecil itu sehinggga beliau dihukum dengan begitu caranya!
Tidaklah saya tahu bagaimana hubungan manusia sesama manusia sekarang ini.Kita bagaikan tidak mahu mengambil tahu langsung tentang orang sekeliling kita.Jiran-
jiran kita,saudara mara kita,sama ada makan atau tidak,sakit atau tidak,susah atau tidak,suami dia larike,kena tangkap ke,dia bersekedudukan ke atau sebagainya.Kita patut hidup semula seperti pada tahun 50an dan 60an dahulu yang mengambil tahu tentang susah payah,senang lenang orang lain.Bukan kerana nak sangat jaga tepi kain orang tetapi untuk membantu jika perlu.
kami dahulu hidup dalam kepayahan tetapi sentiada menolong setiap orang yang susah.
Bila orang tiada makanan kita beri walaupun hanya dengan cucur kodok (jemput-jemput pisang) sahaja.Nasi cuma berlaukkan ikan keli kering yang dibuat nenek dan bersayur-
kan keladi dari dalam sawah.
Bila ada anak yang bernikah kita isytiharkan supaya kita tahu siapa suami atau isteri dia,bila berceraipun kita beritahu.Supaya tidak terjadi tertukar pasangan tanpa nikah.Kenduri kendara meraikan perkahwinan setelah menikah dibuat mengikut Sunnah,yang wajib didahulukan.Lain-lain acara dibuat secara sederhana.Tidaklah hendak menunjukkkan belanja tangga dan hantaran "berlawan-lawan"antara anak si polan dan si polan yang kadang-kadang menimbulkan riak semata-mata.
Sekarang ini semuanya hendak mengharapkan "kerajaan" "surat khabar""majallah" dan "televisyen"untuk bertindak.Kita sebagai manusia cukupkan hubungan sosial kita untuk membantu?Apa kata anda?Ada cadangan dan pandangan?.
Marilah kita menjadi mata untuk melihat ketidak benaran di sekeliling kita dan tolonglah memberitahu kepada pihak yang ada kuasa membantu kalaupun kita tidak boleh membantu meringankan beban orang lain.Jangan biarkan nasi menjadi bubur,dan bubur terus menjadi basi hingga tidak dapat dimakan lagi.
Kasihanilah ibu tunggal,ibu tinggal,anak tinggal,anak yatim dan sesiapa sahaja yang sedang susah,tua atau muda.
Hidupkan semangat bantu membantu didalam masyarakat kita didesa,kampung,bandar dan dikota.Kenali jiran anda walaupun mungkin berlainan agama.Tak payahlah tunggu sehingga keluar kempen di dalam TV seperti kempen untuk tersenyum,baru hendak senyum atau baru hendak membantu apabila ada kempen minta bantuan.
Tidak salah membantu.Bantulah dengan apa cara pun walaupun dengan segenggam beras,
segelas air,duit seringgit dua atau hubungi kebajikan masyarakat,tok penghulu,ketua kampung ,JKKK atau persatuan-persatuan jika ada.
Bolehkah anda semua?